KONSEP DAN BUDAYA ILMU
April 14, 2008 in Uncategorized
Kamus Dewan (2000) mendefinisikan ’budaya’ sebagai tamadun ,
peradaban , kemajuan fikiran , akal budi , cara berfikir atau
cara berkelakuan .
Wikipedia Indonesia pula menyatakan bahawa perkataan ’budaya’
sebenarnya berasal dari bahasa Sanskrit yang bermakna hal-hal
yang berkaitan dengan budi dan akal manusia , atau sebuah
sistem pengetahuan yang meliputi sistem idea manusia yang
mana idea tersebut diamalkannya sehari-hari .
Perkataan ’ilmu’ pula memiliki definisi yang sangat luas dan
susah untuk didefinisikan . Syed Muhammad Naquib al-Attas
berpendapat bahawa ilmu itu sendiri sebenarnya tidak bersifat
neutral , budaya yang berbeza memiliki konsep yang juga
berbeza mengenai ilmu walaupun ada persamaan mengenainya .
Terdapat perbezaan yang ketara dan tidak seiring mengenai
konsep ilmu di antara budaya Islam dan juga Barat . (Wan
Mohd. Nor, 1998)
Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya ’Ulum al-Din
mendefinisikankan ’ilmu’ itu kepada daya membuat generalisasi
, konsepsi terhadap idea-idea yang abstrak dan keupayaan
memperoleh kebenaran intelektual . (Hamid Fahmy Zarkasyi ,
1990)
Maka ’budaya ilmu’ yakni apabila kedua-dua konsep budaya dan
ilmu digabungkan boleh diertikan sebagai segala aktiviti
keilmuan yang dilaksanakan oleh setiap anggota masyarakat dan
diterima sebagai nilaitara utama dalam amalan mereka . (Mok
Soon Sang , 2000)
PEMBANGUNAN TAMADUN MANUSIA BERTERASKAN BUDAYA ILMU
Sejarah telah mengajar kita melalui berbagai peristiwa
penting yang sekaligus membuktikan bahawa golongan manusia
yang tamadunnya tinggi adalah bersendikan kepada budaya
intelektual yang tinggi dalam zaman mereka .
Golongan manusia yang hanya mempunyai kekuatan bersifat
fizikal seperti tenaga manusia atau kekuatan ketenteraan
sebenarnya bukanlah menonjolkan sebuah kekuatan hakiki tetapi
berpandukan dari sejarah tamadun manusia , seringkali kita
saksikan bahwa sesebuah bangsa yang kuat tetapi tidak
diasaskan oleh budaya ilmu yang baik , akan memeluk dan
menganut nilai dan ciri tamadun lain yang ditaklukinya itu
(Wan Mohd. Nor,1997)
Antara contoh bersejarah yang dapat diambil ialah seperti
golongan Mongol yang telah menyerang Baghdad , menjatuhkan
Dinasti Abbasiyah dan seterusnya merosakkan sumber-sumber
keilmuan dan tamadun Islam yang sekaligus paling menyedihkan
dalam sejarah (Mahayudin Hj Yahaya dan Ahmad Jelani
Halimi,1996) kemudiannya telah memeluk Islam dan melahirkan
generasi Islam baharu di Turki , China dan Rusia pada hari
ini (Wan Mohd. Nor,1997)
Kejayaan intelektual dan peradaban tinggi yang dicapai oleh
kaum-kaum Yunani , Yahudi , China , India dan umat Islam di
zaman silam serta betapa canggihnya pencapaian sains dan
teknologi negara-negara Barat pada hari ini juga adalah bukti
nyata di mana sesebuah golongan manusia itu jika ilmu dan
budaya ke arahnya dimartabatkan di kedudukan yang tinggi di
dalam masyarakat mereka .
Zaman Yunani kuno telah melahirkan ramai ilmuan terkenal
seperti Socrates , Plato dan juga Aristotle yang banyak
mempelopori ilmu falsafah , logik serta geometri . Albert
Einstein , Karl Marx dan Sigmund Freud dilihat sebagai
diantara tokoh intelektual berketurunan Yahudi yang
berpengaruh besar di dalam pelbagai bidang keilmuan moden .
Mazhab Konfuciunisme Baru yang mewarnai tamadun China klasik
di mana kecenderungan amali telah memberi sumbangan besar
kepada manusia sejagat melalui penghasilan kertas , sutera ,
percetakan , kompas serta ubat meriam . Budaya India Kuno
pula yang lebih memberikan penekanan kepada ilmu yang paling
abstrak telah memberikan sumbangan bernilai terhadap bidang
astronomi , geometri serta perubatan . Fenomena budaya ilmu
itu mula berubah apabila agama Kristian yang menguasai
negara-negara Barat pada Zaman Pertengahan telah menyebabkan
ilmu itu sendiri telah diilhami oleh semangat sekular
sekaligus mempengaruhi setiap aspek kehidupan dan pemikiran
manusia moden hari ini . (Wan Mohd. Nor, 1997)
BUDAYA ILMU DI DALAM AGAMA ISLAM
Dr. Hasan Langgulung (1979) berpendapat bahawa dengan
turunnya ayat al-Quran yang pertama di Gua Hira kepada
baginda Rasulullah s.a.w adalah tanda akan bangkitnya satu
peradaban baru di dunia .
Ini kerana apabila manusia itu disuruh membaca (Surah al-’
Alaq :1-5) maka proses “membaca” itu sendiri akan melibatkan
berbagai proses mental yang tinggi seperti proses pengenalan
(cognition) , ingatan atau hafalan (memory) , pengamatan
(perception) , pengucapan (verbalizing) , pemikiran
(reasoning) serta daya cipta (creativity).
Jika dilihat dari segi psikologi , proses pembacaan itu
sendiri akan melibatkan keseluruhan struktur mental manusia
itu sebagai kecerdasan seseorang individu (intellegence) .
Dari aspek sosial pula proses pembacaan tadi akan
menghubungkan perasaan , pemikiran dan tingkahlaku seseorang
manusia kepada manusia yang lain . Pembacaan yang terhasil
dari simbol yang dapat dibaca iaitu tulisan akan menjadi alat
sistem perhubungan yang akan mewujudkan suatu sistem sosial ,
di samping penggunaan bahasa itu sendiri akan dijadikan
sebagai gudang (storage) tempat penyimpanan nilai-nilai
budaya yang akan berpindah dari satu generasi ke generasi
selanjutnya .
Perubahan sikap individu yang suka membaca atau aktiviti ke
arah keilmuan ini akan menular kepada keluarga individu
tersebut dan seterusnya akan menular lagi ke dalam masyarakat
. (Hasan Langgulung , 1979)
Daripada impak pembacaan , oleh kerana manusia dikurniakan
akal maka manusia akan memikirkan apa yang dibacanya .
Adalah jelas di sini bahawa , al-Quranlah punca kepada proses
keilmuan . Darinya akan lahirlah budaya keilmuan yang
diamalkan oleh individu dan setiap anggota masyarakat dan
menyebabkan perubahan tamadun manusia sekaligus punca
tercetusnya pembangunan tamadun umat Islam .
Hasan Langgulung melihat terjadinya perkembangan dan
tersiarnya kebudayaan Islam ke serata tempat adalah berpunca
daripada agama Islam sendiri kerana Islam adalah agama yang
pertama sekali mengakui bahawa setiap manusia itu berhak
malah diperintahkan untuk menuntut ilmu pengetahuan dan
mempelajari kemahiran-kemahiran mengikut kecenderungan
masing-masing . (Hasan Langgulung , 1979)
Hal ini dimanifestasikan oleh baginda Rasulullah s.a.w
apabila baginda mendirikan sebuah masjid yang pertama di
dalam Islam iaitu Masjid Quba. Pembinaannya sama seperti
pembinaan masjid-masjid lain iaitu bukanlah semata-mata untuk
beribadah solat sahaja tetapi juga menjadi tempat pertemuan ,
perpaduan dan markaz yang strategik di mana umat Islam boleh
berjumpa , berbincang dan mempelajari ilmu .(Kamarudin Ahmad
dan Azman Md. Zain , 2002)
Di dalam masjid juga baginda akan mengajar dan memberi
khutbah dalam bentuk halaqah di mana para sahabat akan duduk
mengelilingi baginda untuk mendengar dan bersoal jawab
berkaitan dengan urusan agama atau kehidupan seharian .
Berlainan dengan tamadun Kuno seperti China dan India ,
proses keilmuan hanya terbatas kepada golongan tertentu
sahaja seperti golongan aristokrat , golongan lelaki sahaja
atau khusus untuk golongan pendeta atau ahli agama (Wan Mohd
Nor , 1997)
MASYARAKAT YANG BERBUDAYA ILMU
Sesebuah masyarakat yang mengamalkan budaya ilmu sudah
setentunya akan memiliki beberapa ciri-ciri tertentu yang
membezakan mereka dengan masyarakat yang tiada
berkecenderungan terhadap aktiviti keilmuan .
Wan Mohd Nor (1997) antara lain menggariskan ciri-ciri
tersebut adalah seperti ;
1. Penglibatan setiap ahli masyarakat di dalam kegiatan
keilmuan
2. Tindakan manusia baik secara individu mahu pun di
peringkat masyarakat , diputuskan dan dilaksanakan
berdasarkan ilmu pengetahuan sama ada melalui pengkajian mahu
pun syura .
3. Ilmu dianggap sebagai satu keutamaan tertinggi dalam
sistem nilai peribadi dan masyarakat di setiap peringkat .
4. Individu dan institusi berpengaruh dalam masyarakat
akan memberi keutamaan , bantuan , kemudahan , dan
pengiktirafan yang tinggi kepada mana-mana pihak yang
melibatkan diri di dalam usaha mencari dan menyebarkan ilmu
pengetahuan
5. Dalam diri dan masyarakat , tidak akan mengiktiraf
sifat jahil , bebal dan anti ilmu .
6. Dalam diri dan masyarakat yang berbudaya ilmu , akan
menolak dan membenci pandangan , pernyataan , serta amalan
yang tidak berasaskan ilmu dan kebenaran .
7. Budaya ilmu bukan sekadar kesungguhan memahami ,
mendalami dan menghayati sesuatu bidang ilmu tetapi lebih
penting juga mampu menjelmakan sifat keilmuan dalam pelbagai
bidang (multi-disciplinary) dan merentas bidang (inter-
disciplinary) agar pemaduan ilmu dapat mewujudkan kepaduan
diri dan masyarakat
Justeru itu , Wan Mohd. Nor (1997) selanjutnya menambah
bahawa masyarakat yang berbudaya ilmu seharusnya memiliki
beberapa nilai tertentu , iaitu ;
1. Kepentingan Ilmu
Masyarakat yang berbudaya ilmu akan menjadikan ilmu sebagai
asas segala kebaikan. Ilmu yang dipelajari bukanlah tiket
untuk mendapatkan kemewahan material , melahirkan pekerja
yang cekap atau peluang untuk pekerjaan lumayan tetapi lebih
kepada penanaman sikap untuk memuliakan ilmu dengan cara
menuntutnya dan seterusnya menghayatinya seumur hidup .
Pendidikan menurut Ibnu Khaldun , dapat membantu individu dan
masyarakat menuju kemajuan dan kecemerlangan . (Dr. Gamal
Abdul Nasir Zakaria , 2003)
2. Hasil Ilmiah Yang Berkekalan
Berkekalan di sini bermaksud bahawa sebarang usaha dan hasil
yang berteraskan ilmiah itu seharusnya merupakan sumbangan
dan amal kebajikan penting bagi diri sendiri dan juga manusia
, dan sumbangan tersebut akan diberi ganjaran yang bersifat
kekal .
Bagi ilmuan non-Muslim , mereka pasti mendapat kemasyhuran
nama sepanjang zaman manakala bagi ilmuan Muslim pula percaya
kepada ganjaran pahala amal jariah di akhirat .
3. Usaha Keilmuan Yang Berkekalan
Di dalam masyarakat yang berbudaya ilmu , anggota
masyarakatnya perlu maklum bahawa pendidikan itu adalah
proses pembelajaran sepanjang hayat yakni dari buaian hingga
ke liang lahad .
4. Hormat-Kritis Terhadap Ilmu
Masyarakat berbudaya ilmu juga mesti berani mencari kebenaran
dan memperbaiki hasil pemikiran tokoh ilmuan terdahulu .
Perkara ini dapat disaksikan melalui rentetan sejarah dimana
Imam Syafi’i serta Imam Abu Hanifah pernah berguru dengan
Imam Malik . Contoh lain pula Imam al-Ghazali mengkritik
kekeliruan ahli falsafah Islam yang terpengaruh dengan unsur
dan pemikir Yunani tetapi tetap mengakui sumbangan dan
keagungan para pemikir Yunani tersebut .
5. Kesinambungan Tradisi Keilmuan
Peka dan sedar betapa pentingnya kesinambungan atau sejarah
ilmu atau keilmuan juga sebuah nilai yang amat mustahak
dimana ilmu itu sendiri tidak terbatas kadarnya serta manusia
itu sendiri tidak akan dapat memikirkannya bermula dari titik
kosong . Khazanah keilmuan generasi terdahulu dan juga semasa
seharusnya diketahui dan seterusnya direkodkan .
6. Kepimpinan
Masyarakat yang mahu memilih barisan para pemimpin mereka
setentunya terlebih dahulu mesti memahami dan menghayati
budaya ilmu itu sendiri sebelum menilai , memilih dan
mengukuhkan pemimpin yang berilmu , adil , bijaksana ,
berwawasan jauh dan tegas . Ini juga bermakna , mana-mana
individu atau kumpulan pemimpin yang mahu memimpin masyarakat
, semestinya melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu dasar dan
kepakaran yang sentiasa dipertingkatkan dari masa ke semasa
bersesuaian dengan keperluan zamannya .
7. Bermusyawarah
Seseorang individu setentunya tidak akan dapat mengetahui
semua perkara yang diperlukan untuk hidup secara sendirian
apatah lagi sebagai sebuah masyarakat kerana ilmu bersifat
tidak terbatas . Solusinya ialah dengan cara bermusyawarah.
Ini kerana di samping proses itu sendiri merupakan suatu
jelmaan ciri budaya ilmu , syura juga merupakan amalan
Rasulullah saw dimana baginda sendiri seringkali
bermusyawarah dengan para sahabatnya yang berwibawa dalam hal
yang berkaitan dengan maslahat orang ramai serta seringkali
juga menerima pandangan mereka .
8. Pengiktirafan Peranan Wanita
Wanita memang berperanan besar di dalam menentukan dan
membina budaya ilmu dan ketinggian tamadun manusia . Zaman
pramoden menyaksikan kaum wanita secara tidak rasmi telah
berpengaruh besar di dalam peringkat rumahtangga khususnya
mengenai urusan penerusan adat resam , penjagaan keluarga dan
kemahiran hidup berkeluarga .
Ahli sejarah melihat pengabaian pendidikan kaum wanita
seperti di dalam tamadun Yunani Kuno dilihat sebagai punca
kepada kejatuhan tamadun masyarakat Yunani itu sendiri .
Agama Islam pula bersumberkan dari wahyu atau hadis ,
memerintahkan kepada kaum Muslimin , lelaki dan juga
perempuan untuk sama-sama menuntut ilmu pengetahuan dan
menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah dan hamba Allah
SWT di muka bumi ini . Isteri-isteri Rasulullah saw sendiri
terutamanya Siti Aisyah adalah sumber rujukan para sahabat
khususnya mengenai al-Quran , hadis , fekah selain syair ,
sejarah Arab , nasab keturunan (silsilah) dan juga perubatan
.
Jelas di sini bahawa , kaum wanita memberi kesan kepada
sesebuah institusi keluarga. Manakala kekeluargaan pula
merupakan paksi kekuatan sesebuah masyarakat .(Hasan
Langgulung ,1979)
CABARAN BUDAYA ILMU MASA KINI
Terdapat banyak cabaran yang perlu ditangani agar hasrat
untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang berbudaya ilmu pada
zaman sekarang . Diantaranya ialah ;
1. Salahtanggap masyarakat terhadap ilmu
Masyarakat melayu silam melihat ”ilmu” dan usaha kearahnya
itu hanya sebagai memenuhi kepada keperluan peribadatan
sahaja . Contohnya mempelajari ilmu astronomi hanya untuk
memastikan waktu-waktu solat atau ketibaan bulan-bulan
penting sahaja . Ilmu matematik hanya khusus untuk mengira
fidyah , zakat atau pembahagian harta pusaka (Wan Mohd. Nor
Wan Daud,1997).
Masyarakat pada hari pula melihat aspek pendidikan sebagai
syarat untuk lulus peperiksaan sekaligus sebagai tiket untuk
mendapatkan pekerjaan yang lumayan , kurikulum yang tersedia
juga kurang memberi peluang untuk para pelajar untuk berfikir
secara aktif , ilmu itu juga telah disempitkan melalui
pengkhususan dan pengelasan , ilmu tidak dapat kaitkan dengan
iman dan amal serta terpinggirnya kesan ilmu terhadap aspek
akhlak . (Dr. Tajul Ariffin Nordin dan Dr. Nor’Aini Dan,2002)
Oleh itu , set minda masyarakat yang sempit yang
berkemungkinan diakibatkan oleh pelbagai aspek seperti
pengaruh sekularisme atau dualisme yang diperkenalkan oleh
pentadbiran kolonial silam misalnya perlulah diubah melalui
pendidikan Islam agar konsep ilmu yang luas dapat memberi
impak yang sempurna kepada masyarakat .
1. Pengaruh berlebihan budaya korporat dan penswastaan
terhadap ilmu dan sistem pendidikan. (Dr. Tajul Ariffin
Nordin dan Dr. Nor’Aini Dan,2002)
Apabila manusia hanya asyik memikirkan keuntungan material
sahaja dengan cara memperniagakan kegiatan intelektual secara
komersial secara tidak langsung akan menyebabkan
terpinggirnya budaya ilmu itu sendiri kerana ia sudah tidak
lagi diasaskan oleh konsep ibadah dan keikhlasan
1. Tiada wujudnya kesinambungan usaha intelektual di
alam karier .(Prof. Dr. Azyumardi,1999) . Usaha membuat
kajian dan penyelidikan (research and development) di dalam
sektor kerajaan serta swasta sebenarnya memberikan impak
besar terhadap kemajuan negara . Tanpa adanya dapatan
daripada penyelidikan dan kajian yang berterusan ,
produktiviti yang dikecapi hanyalah bersifat minima sahaja .
2. Institusi informal dan non-formal dalam masyarakat
yang pincang .
Perkara ini dapat dilihat melalui kurangnya peranan ibu bapa
yakni kekeluargaan di dalam budaya ilmu (M.Wasiullah
Khan,1989)
Realiti zaman sekarang menyaksikan para ibu bapa kurang
berperanan sebagai ejen sosialisasi dan role model penting
kepada keluarga mereka . Hal ini sama sekali berbeza dengan
masyarakat zaman silam yang tidak begitu terdedah dengan
pengaruh negatif dari budaya luar kerana utuhnya sistem
kekeluargaan yang rapat walaupun para ibu bapa selalunya
tiada berpendidikan tinggi .
1. Kurangnya imbalan atau insentif pihak kerajaan kepada
para ilmuan dan kegiatan intelektual .
Ibn Khaldun di dalam kitab Muqaddimahnya ada menceritakan
tentang kepesatan dan kemajuan ilmiah yang dicapai oleh
wilayah Islam semasa pemerintahan amir-amir Turki dimana
sekolah-sekolah (zawiyah) dan wakaf-wakaf banyak didirikan
sebagai industri pelaburan di mana keuntungan yang diperolehi
akan digunakan sebagai upah dan insentif serta motivasi bagi
para pendidik dan pelajar .
1. Kurangnya usaha mempublisitikan ilmu , tokoh keilmuan
dan karya intelektual kepada masyarakat (Wan Mohd. Nor Wan
Daud,1997) yang disebabkan oleh pendedahan berlebihan
terhadap dunia hiburan dan sukan melalui media massa serta
gadget elektronik .
1. Khazanah karya intelektual yang dilupakan .
Usaha mengkaji dan menyelidik karya-karya intelektual tokoh-
tokoh keilmuan zaman silam perlulah dijalankan ,
diperkembangkan dan didedahkan kepada pelbagai lapisan
masyarakat dari masa ke semasa agar segala pengajaran , nilai
tujuan , kandungan dan kejayaan atau kegagalan para tokoh
ilmuan tersebut dapat dimanfaatkan secara hormat-kritis (Wan
Mohd. Nor Wan Daud,1997) .
Berbalik kepada tema , konsep dan budaya ilmu ; apakah yang
akan terjadi sekiranya masyarakat kita tidak berbudaya ilmu?
Masyarakat yang tidak berbudaya ilmu pastinya akan berbudaya
jahil atau bebal , bukan kerana ketiadaan maklumat atau fakta
yang betul tetapi kerana rendahnya sifat rohaniah dan degil
walaupun mempunyai maklumat yang betul dan cukup . (Wan Mohd.
Nor Wan Daud,1997).
KESIMPULAN
Untuk memupuk kesedaran berbudaya ilmu di dalam masyarakat
bukanlah satu impian yang terlalu ideal atau mustahil untuk
dicapai . Ini kerana melalui pengalaman sejarah silam ,
generasi manusia terdahulu seperti masyarakat Yunani , China
, India dan Islam sendiri pernah mencapainya di dalam
pelbagai bidang keilmuan. Kecanggihan sains dan teknologi
yang didominasi oleh negara-negara Barat dan negara Jepun
moden sekarang ini adalah manifestasi dari budaya ilmu yang
disemai di dalam masyarakat mereka .
Ibn Khaldun sendiri ada menyatakan bahawa ilmu pengetahuan
dan pengajaran (ta’lim) merupakan hal semulajadi di dalam
peradaban manusia . Jadi , tidak hairanlah bilamana tokoh itu
tersebut pernah menyatakan bahawa sejarah jatuh bangun
sesuatu bangsa berkaitan dengan budaya ilmu yang dihayatinya